Pengalaman Diculik Ketika Travel di Kyrgyzstan

Pengalaman Diculik Ketika Travel di Kyrgyzstan

Share Artikel

Sedikit coretan pengalamanku di bumi Kyrgyzstan...

Pada suatu petang, aku pergi ke satu masjid berdekatan rumah tempat aku menginap di Bishkek dengan hasrat dapat bersembang dengan orang tempatan. Sudah 10 hari aku di sini, tetapi jarang sekali aku bersembang dengan orang tempatan. Sebab itu aku memilih masjid kerana aku yakin ada peluang untuk bertemu dengan orang yang boleh berbahasa arab, kebetulan aku boleh bertutur dalam bahasa tersebut. Kenapa bahasa arab? Kerana aku yakin untuk bertemu orang yang boleh berbahasa arab lebih senang daripada orang yang boleh berbahasa inggeris. Jadi secara bersahajanya aku menegur orang yang sedang duduk di bangku halaman masjid,

"Tatakallam 'arabi?" - Adakah kamu boleh berbahasa arab?

Ditakdirkan Allah, orang yang pertama aku tegur boleh berbahasa arab sebab dia belajar di madrasah di sini.

Usai maghrib aku menegur orang lain pula. Kali ini aku mula dengan tanya nama masjid dalam bahasa Russia,

"Mejid ka zavut?" - Apa nama masjid ini?

Kali ni aku bertemu orang yang boleh cakap arab sikit-sikit. Tapi sekali lagi takdir Allah, dia kata ada kawannya yang sedang solat boleh berbahasa Inggeris. Selesai kawannya solat, kami bertegur sapa dan tiba-tiba, aku 'diculik' ke Central Mosque. Kemudian aku dibawa ke satu rumah. Aku seolah dipukau dan mengikut sahaja mereka.

Di rumah tersebut aku menjamu sejenis makanan seperti 'hawawsyi' dan tembikai. Kami bersembang lama. Bertubi-tubi soalan berkenaan perkara agama diajukan padaku. Dari Khawarij, Hizbut Tahrir, Salafi sampai kepada soalan furu' seperti sapu stokin ketika wudu'. Aku menjawab apa yang kutahu dengan mengulangi jawapan guru-guruku dan mendiamkan apa yang tidak diketahui. Sampai kepada soalan sapu stokin ketika wudu'. Aku memberi 2 pandangan yang berbeza daripada 2 guruku yang berbeza. Walaupun kami berbeza mazhab (Syafie dan Hanafi), aku cuba menjawab dengan kerangka pandangan mazhab yang lebih luas.

Setelah 2 jam aku didera dengan soalan bertubi-tubi, aku minta undur diri. Ini semua gara-gara aku terberitahu mereka yang aku menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Mereka suruh aku tidur di situ. Tapi aku cakap ada benda lain yang perlu aku lakukan. Dia cuba memujuk aku lagi. Namun akhirnya mengalah dan menghantar aku ke pintu teksi dan bayarkan duit tambang. Dan semua kisah ini terjadi dalam satu malam tanpa aku sangka. Aku di 'culik' oleh orang yang tidak pernah aku kenali sebelum ini di bumi yang asing. Pengalaman yang cukup bermakna. Mereka sangat seronok bertemuku. Katanya,

"For the sake of Allah."


Gambar terakhir bersama para 'penculik'

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

tagsfolder-open