Artikel ini disunting dari perkongsian oleh Hairwan AB. Beliau telah travel secara solo ke Boracay Filipina dari 23-26 September 2017. Ikuti perkongsian ini.
Destinasi: Boracay
Tempoh: 23-26 September 2017
Boracay adalah sebuah pulau peranginan yang popular di Filipina. Ia pernah dianugerahkan sebagai salah sebuah pulau terbaik di dunia pada tahun 2012, 2014 dan 2016.
Perkataan Boracay berasal dari 2 perkataan dalam bahasa Filipina. Bora bermaksud buih-buih manakala Bocay bermaksud putih.
Itu serba sedikit pengenalan kepada Boracay.
Bagaimana untuk ke Boracay?
Ada beberapa cara. Tapi cara yang paling mudah untuk ke Boracay adalah dengan menaiki penerbangan Air Asia.
Ambil Flight dari KLIA2 ke Kalibo Airport, kemudian naik bas ataupun van dari Kalibo Airport ke Caticlan Jetty. Dari Caticlan Jetty pula boleh ambil speed boat ke Pulau Boracay.
KLIA2 ke Kalibo mengambil masa hampir 4 jam. Kalibo Airport ke Caticlan Jetty pula dalam 2 jam perjalanan. Speed boat ke Pulau Boracay hanya mengambil masa 15 minit sahaja.
Kalibo airport saiznya memang amat kecil.
Ruangan imigresen di sini juga agak sempit. Jadi pastikan segala borang arrival dan custom telah diisi sewaktu di dalam kapal terbang lagi untuk memudahkan urusan imigresen.
Jika tak nak isi dalam kapal terbang tak apa. Cuma nanti anda akan dijamin tersadai di ruang sempit imigresen Kalibo. Sambil anda berdiri sambi itu isi borang.
Sejurus sahaja keluar dari arrival hall, belok ke kanan, nanti anda akan nampak perkhidmatan bas Southwest.
Anda boleh pilih option "door to door". Harga sudah termasuk terminal dan environmental fee. Jadi anda dah tak perlu pening-pening bayar bayar asing-asing untuk beli tiket bas, speed boat, transfer ke hotel dan bayar environmental fee serta terminal.
Jumlah kena bayar cuma PHP761.25 sahaja. Dalam RM63.30 duit Malaysia.
Semua ini anda boleh beli masa di airport.
Kalau anda nak booking sebelum sampai, boleh lawati laman web mereka di https://southwesttoursboracay.com .
Tinggal di mana?
Boracay terbahagi kepada Station 1, Station 2, Station 3, area Diniwid dan Bulabog.
Tapi saya syorkan anda untuk tinggal di kawasan sekitar Station 2 atau Station 1. Station 2 adalah tempat yang paling meriah. Banyak benda tertempu di Station 2.
Station 1 agak lengang tetapi suasana di sini mendamaikan.
Station 3 pun agak ke tepi tetapi ia jadi tumpuan hostel-hostel dan hotel-hotel. Dekat sini kos penginapan hostel dan hotel agak murah.
Anda boleh berjalan sepanjang Station 1, Station 2 dan Station 3 . Jaraknya dekat antara setiap station. Tak jauh pun. Tak lenguh pun kaki kalau anda jalan kaki.
Kawasan depan semua station inilah White Beach, pantai yang bersih dan sarat dengan aktiviti.
Makanan macam mana?
Benda-benda 'tidak halal' lain banyak di Boracay. Tapi secara jujurnya, memang agak susah nak jumpa kedai makanan halal di Boracay.
Saya syorkan anda bawa maggi, roti, brahim, sardin dan seangkatan dengannya secukupnya. Melainkan anda sanggup makan seafood hari-hari.
Tapi dari apa yang saya tengok, harga seafood di Boracay agak mahal.
Apa aktiviti yang boleh dibuat?
Sepanjang kawasan Station 2 ada banyak orang jual pakej.
Jadi tinggal lagi anda kena pandai tawar-menawar.
Untuk island hoping, rate seorang antara PHP1000 – PHP1500 dalam RM85 – RM125. Biasanya island hoping akan termasuk Puka Beach, Coral Garden, snorkeling di Crocodile Island, Crystal Cove dan Cliff Jumping di Magic Island.
Pastikan anda bawa juga duit cash sebab nanti di Crystal Cove, nak kena bayar PHP200 seorang (RM17).
Selain daripada itu, antara aktiviti yang wajib anda cuba adalah Zipline dan Cable Car. Memang terbaik 2 aktiviti ini. Cuma kalau anda takut pada ketinggian, saya tak syorkan sangat.
Nanti kalau jadi apa-apa... susah.
Aktiviti paling santai dan best yang anda patut cuba di sini adalah melihat sunset. Sumpah saya cakap, sunset di Boracay ini agak lain macam sikit.
Ia buat saya terkesima.
Ibarat melihat bidadari lalu di depan mata.
Memang serius lawa. Saya berkesempatan naik Paraw Sailing sambil menanti sunset. Ia memang suatu pengalaman yang tak mungkin dapat dilupakan.
Rate untuk naik Paraw Sailing ini, dalam PHP350 (RM30) sahaja.
Kalau anda tak tau apa itu Paraw Sailing, nanti tengok gambar yang dikongsikan di bawah.
Bagi saya, tak rugi ke Boracay.
Asalnya, memang Boracay tak ada dalam wishlist saya.
Beli tiket pun sebab saya dapat tiket promosi.
Saya jangka pengalaman yang bakal dilalui nanti mesti serupa macam pengalaman di Phiket, Bali, Tioman dan lain-lain pulau.
Tapi saya silap.
Boracay bagaikan syurga buatan manusia.
Keindahahan alam di Boracay mampu diucap dengan kata-kata.
Kalau Boracay saja seindah ini, saya tak dapat bayangkan betapa indahnya di syurga nanti.
P/S: Masa nak depart dari airport Kalibo ke KLIA2 nanti, pastikan anda sediakan duit PHP700 untuk airport tax. Bayar di kaunter sebelum imigresen. Hanya duit tunai PHP diterima.
Ingat tahu!
Takut nanti dah shopping sakan, nak balik tak lepas sebab tak ada duit tunai nak bayar airport tax.










Jangan lupa share pada yang lain! Semoga bermanfaat.